Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung kudaki-kudaki jua!



Tuesday, May 31, 2011

Selamat Bertunang

Kalau gugur buah setandan,
sampai ke tanah baru tergolek.
kami bersyukur kepada Tuhan,
datang kami disambut baik.

Sampai ke tanah baru tergolek
lalu dikutip di masuk bakul
datang tuan disambut baik
pasti hasrat akan termakbul

Bunga ros bunga melati
harum semerbak di dalam taman
besar sungguh hajat di hati
hendak menyunting bunga di taman

cantik memanjat pohon ara,
nampaknya cantik berseri laman.
besar hajat kami tidak terkira,
hendak memetik bunga ditaman.
Bak kata orang..
tuan menyimpan sekuntum bunga,
bak intan di dalam peti.
Kami menyimpan seekor kumbang,
sudah terpikat ke bunga tuan,
hendak menyunting intan tuan,
hendak bernaung di rumah ini,
hendak menyambung tali darah,
hendak mengikat tali keluarga.
minta diterima hajat kami...



Timah pateri dengan besi
di cantum dengan paku belanda
hukum berdiri dengan saksi
adat berdiri dengan tanda

Bunga Cina tanaman Cina
mari di pakai tuan puteri
kerja kita akan sempurna
bila sampai masa di janji



Detik yang dinanti pasti akan tiba jua, percayalah..Selamat menjadi tunangan orang..Tahniah!

Saturday, May 21, 2011

Ini novel pertama yang aku baca seusai aku menyerahkan tesis kepada pihak UPM..Hampir dua tahun aku rasa dibelenggu dengan tugasan tersebut..akhirnya aku bebas..merdeka..yahoooo...heheheh..hakikatnya perjuangan belum berhenti..cuma aku ada sedikit kelapangan untuk membaca novel..hobi yang terpaksa aku lupakan kerana tuntutan lain yang lebih utama..


Tajuk: AKu Yang Kau Tinggalkan
Penulis: Alina Haizar
759 Mukasurat



Aku seronok membaca novel ini kerana aku seolah-olah terbang ke Paris dan seolah-olah turut menjelajah bandar Turin dan pelusuk Itali..Syabas kepada penulisnya..bilakah aku mampu menghasilkan novel sebegini?heheh...Wallhualam.. Apapun, terima kasih Kiroh sebab pinjamkan novel ini..

Thursday, May 19, 2011

Demikian Adanya...

Segalanya bermula apabila setiap hari kami sering berdiskusi bagaimanakah caranya agar dapat tampil sebagai pendidik yang segar dan mantap. Bagi kami menjadi guru tidak sempurna jika hanya berada pada satu takah sahaja. Kami menanam azam untuk berada di puncak kerjaya. Kami bulatkan tekad dan akhirnya kami berdua mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Jun 2009 kami mendaftar sebagai pelajar sarjana Program Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia. Sudah tentu paradigma dan rentak kerja kami jadi sedikit berbeza dengan keputusan ini. Sebulan sekali kami akan turun ke UPM untuk berkuliah.
Kami memilih jalan ini semata-mata untuk menyelami ke tengah lautan dunia pendidikan yang sangat luas. Bercampur dengan rakan sekelas daripada pelbagai lapangan dan pelusuk negeri mengundang pengalaman yang bererti dalam hidup kami. Paling tidak kami dapat melupakan tekanan di sekolah.
Kemuncak kepada perjuangan ini apabila hari pembentangan dan perdebatan kertas projek akhirnya tiba jua..kumpulan pelajar master kami sebenarnya tak ramai..hanya lapan orang sahaja...pun begitu keadaan tetap gamat kerana sesi ini merupakan gelanggang terbaik dalam kancah akademik ini.

Nama-nama hebat seperti Prof. Madya Dr. Rasid Jamian, Dr. Roselan Baki, Dr. Fadzillah Abd Rahman, Dr. Naffi Mat sesungguhnya telah membakar semangat juang dan komitmen kami untuk menyempurnakan pengajian ini. Setulusnya ucapan terima kasih ditujukan kepada Tn Hj. Shamsudin Othman selaku penyelia bagi kertas projek kami kerana tidak pernah jemu memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta sering mempermudahkan urusan kami. Kreativiti, motivasi, iltizam yang berpasak kukuh dalam diri beliau sesungguhnya menuntun perjuangan ini.


Kepada sang suami, perjuangan ini merupakan antara benih yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga antara kita agar terus berkongsi rasa bersama dalam hidup ini. Usah dihitung wang ringgit yang kita laburkan kerana, pertemuan demi pertemuan yang diaturkan telah dapat mencanai pengalaman agar kita tampil sebagai pendidik yang sentiasa segar.Puteriku Qistina, kami berdua gagah mentiti takah yang getir ini keranamu jua dan semoga semangat perjuangan ayahanda dan bonda ini akan menjadi inspirasi kepadamu kelak...
Juga menjunjung kasih kekandaku Maya tercinta yang menjadi denyutan nadi dalam hidup ini. Sentiasa positif dan memberi ruang. Tempat kami menumpang juga tempat si kecil itu dititipkan..Seluruh kaum keluarga yang menyokong perjuangan ini, galakan kalian sangat-sangat dihargai.


Biarpun keletihan, meskipun kepenatan tapi pengalaman ini merupakan pengalaman yang mahal dan tidak dapat dijual beli. Sesungguhnya perjuangan memperkaya ilmu dan tahap profesionalisme adalah sesuatu yang indah tetapi penuh dengan kendala dan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah, tenang dan bijaksana.Walaupun belum bergraduat sepenuhya kami yakin perjuangan ini merupakan batu batu loncatan untuk membina keterampilan diri dalam bidang pendidikan pada masa hadapan. Kami hanya mampu berdoa agar kami terus ampuh merentangi gelora dunia pendidikan. Insya-Allah.. Syabas dan Tahniah buat diri sendiri, sang suami juga rakan-rakan sekelas! Jom kita berjuang untuk Phd pulak!!hehe

Sunday, May 15, 2011

Salam Hari Guru

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca
Nah.. Betapa hebatnya seorang guru. Di tangan guru, lahir watak-watak manusia yang mencerminkan kehebatan sesebuah negara. Guru bertanggungjawab sepenuhnya melakar dan melukis perwatakan manusia. Malah tugas guru menjalar hingga ke akhirat.

Realitinya dalam sistem persekolahan, pelajar menunggu sebagaimana ikan di akuarium mengangakan mulut untuk ditabur dengan makanan. Mereka menanti di kelas untuk dipengaruhi, dikuasai, diasuh dan diajar dengan baik. Memang pada dasarnya guru memiliki keinginan untuk mengajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi untuk merealisasikan tujuan tersebut bukanlah satu kerja yang mudah. Barangkali rakan-rakan guru bersetuju kalau aku katakan guru hari ini diasak dengan senarai pelbagai tugasan. Dari hal kurikulum, pengurusan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada kegiatan kokurikulum semuanya menanti. Dunia pendidikan yang guru pilih atau barangkali juga tersalah pilih ini semakin ruwet. Tugas guru jadi sangat rencam. Perasaan kecamuk sering dialami guru. Melihat kepada senarai tugas sepanjang tahun guru sering rasa dizalimi. Sangat dizalimi. Nasib guru seolah-olah tidak terbela.Tapi guru tetap cuba memutihkan sangkaan kerana guru percaya Tuhan tidak akan membebani hambanya melainkan hamba itu mampu melaluinya.

Setiap hari guru yang mempunyai jiwa pendidik pasti melakukan operasi minda, berkira-kira langkah perlu dalam melaksanakan tugasnya. Guru-guru ini akan memeram idea, mengadun dengan akal budi sehingga sebati. Guru-guru ini menanamkan semangat untuk meneruskan kerja dengan tenang, sabar serta sarat dengan pertimbangan. Paling tidak mampu mengawal persekitaran bukan dikawal persekitaran.
Rakan-rakan guru, kita perlu bijak mengurus tekanan yang datang sama ada daripada pihak perancang kurikulum, pentabir, rakan sekerja, para pelajar mahupun ibu bapa. Kepada pihak yang berkenaan; sedarlah sebagai pendidik betapa besar kuasa yang dimiliki guru-guru sehingga mampu mengubah dunia. Kerana itu, kebajikan guru perlu dibela. Martabat guru perlu diperjuangkan bagi memastikan obor perjuangan guru tetap menyala dalam menerangi seluruh alam. Sistem pendidikan
akan lumpuh sekiranya guru-guru terus dibelenggu dengan dilema psikologi, stres, dan tekanan perasaan.


Rakan-rakan guru sekalian, walaupun berhadapan dengan situasi rumit kita perlu mengisi makna murabbi melalui mendidik kerana percayalah bahawa mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan.
Salam hari guru buat sang suami, guru-guru yang pernah membimbing, rakan-rakan sekerja guru dan seluruh warga guru di negara ini.


GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Sunday, May 1, 2011

Selamat Pengantin Baru

Salam tahniah dan selamat pengantin baru untuk sepasangan rakan sekerja yang telah diatur dan ditakdirkan jodoh pertemuannya oleh Allah hari ini.


Song Category: Nasyid
Bila Dua Hati Dah Terjalin
Artist: Hijjaz

Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha Allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan Ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Melangkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu

Moga kekal hingga ke syurga

Selamat menikmati alam berumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala pula bergelora.
Kami semua memanjatkan doa agar perkahwinan ini diberkati dan semoga bahagia hingga ke hujung nyawa!