Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung kudaki-kudaki jua!



Wednesday, November 16, 2011

Selamat Pengantin Baru




Terakam satu lagi detik bersejarah dalam keluarga kami apabila majlis pernikahan adindaku Awis selamat dilangsungkan. Tiada yang istimewanya majlis ini melainkan meraikan kisah cinta dua jiwa yang lahir daripada sanubari yang ikhlas.Kali pertama ketika tuan imam mengujarkan lafaz keramat penuh makna itu, hadirin bermonolog sendiri antara hati dengan perasaan. Aku tahu ada kebimbangan yang berakar di perdu hati setiap dari kami. Ternyata kami tidak henti membaca berangkai doa penenang jiwa. Biarpun dia bersikap selamba, seolah-olah menidakkan kecemasan dihatinya, dia sedang menghazam ungkapan itu barang satu dua saat. Tangan itu dijabat, dikemaskan dan dihenjut sedikit oleh tuan imam buat kali keduanya..Akhirnya dia berjaya menyambutnya sekaligus bertapak kelegaan dalam hati kami..hehehe..suspennnn tu...
Adindaku Ain, terima kasih kerana dengan senang hati menerimanya dalam perjalanan hidupmu. Kalulah kau tahu betapa kami menyayanginya dan tidak pernah membekukan kasih padanya, nescaya kau juga tidak akan tergamak menyakitinya. Seperkara lagi, biarpun adat masih kuat melingkari hidup kita, hakikatnya zaman bermanja dalam kelopak kasih ibumu sudah berlalu...
Akhirnya, seluruh kaum keluarga memanjatkan doa paling tulus ke hadrat Ilahi agar ikatan ini akan berkekalan sementara hayat mengasuh hasrat. Semoga menjadi suami yang matang dan tidak mentah dalam menangani hidup yang penuh pancaroba, adindaku Awis!





Semoga Berbahagia!

Saturday, August 6, 2011

Salam Ramadan al-Mubarak

Bening 1 Ramadan tahun ini menyebarkan zarah-zarah udara yang nyaman..Alhamdulillah kerana masih terpilih untuk mengharungi bulan yang mengandungi rahmat dan maghfirat ini ...Sebak meresap dalam diri, sayu menggigit hati mengenangkan Ramadan yang penuh hikmah dan sarat dengan iktibar..Selamat bergelut dengan kelebihan yang ada padanya kepada seluruh umat Muhammad..

Namun jauh disudut hati ada kepiluan menyayat hati...Ketika mentari 1 Ramadan tahun ini menyimbahkan sinarnya pada tubuh bumi, aku mengepung perasaan yang bergelora di sisi pusaranya...Saat unggas di perkuburan itu bersimfoni mengalunkan irama, tangisanku tiba-tiba meninggi..Hatiku berdetik hiba, diruntun rindu yang memuncak..Aku menangis semahunya..dan akhirnya aku sendiri menjalari hati dengan pujukan syahdu..Aku perlu pasrah kerana yang tinggal hanyalah kerinduan yang bertali-temali..Rasa rindu yang berbuku tak mungkin terlerai..Hanya Tuhan yang mengetahui gelombang perasaanku dan barangkali juga kalian yang merinduinya...Al-Fatihah Muhammad An-Naqib Bin Abdul Rahman.

Wednesday, June 29, 2011

ADUYAIIIIIIIIIII

Hari paling BORING...

sebabnya???

ada banyak.......

Tapi bagus jugak jadi cam ni

aku akan jadi kebal bila berhadapan dengan tekanan..

Aku juga bisa faham situasi sebenar

siapa kawan dan siapa lawan..

Tak kisahlah..

sebab aku tak hidup dek pujian

tak mati dek kejian...

Lagi satu prinsip aku

Biar nampak ntah pape dari nampak bagus tapi ntah pape..

Rasa cam tak sabar nak berganjak..

SUNGGUH!

Monday, June 27, 2011

Kekalkan Hati Puteriku...

Hati bagi direntap-rentap setiap kali melihat anak belajar bersolat..Mulut yang terkumat kamit mengatur bacaan membuatkan aku cukup terharu..Kata orang kalau nak jadikan diri dan keturunan kita orang yang rajin mengerjakan solat, amalkanlah doa ini.

Surah Ibrahim: Ayat 40-43

[40] Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

[41] Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

[42] Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

[43] (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).

**************************************************

Sunday, June 26, 2011

Selamat Hari Abah

Birpun terlambat aku tetap ingin memuatkan entri ini..Entri yang merakamkan ucapan selamat Hari Abah buat abah tersayang..

Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang

Diari Cuti Sekolah

Malam ni aku nak post aktiviti cuti sekolah hari tu..biar pun dah berlalu aku nak muatkan gak..hehe..dua minggu ni aku tak punya kesempatan nak update..ntah apa yang aku sibukkan pun aku tak tau...aduyaiii..
Hari pertama cuti; 28 Mei berada di Pantai Pasir Lanun, Mersing..bawa budak pengawas camping..sambil tu dapat mandi laut..layan sikecil tu..

Matahari terbenam di bumi mersing..


tunggul pokok

Tarikh: 3 Jun
Lokasi: Inderasempurna Resort, Kuantan
Alih-alih aku dah balik Pahang..Bawak bebudak semua swimming kat Inderasempurna..Tempat yang selamat untuk bebudak mandi..sampai tak nak naik

Tarikh: 4 Jun
Lokasi: Rumah baru Abang Man
Even: Majlis kesyukuran sempena masuk rumah baru


Tarikh: 7 Jun
Lokasi: Taman Tema Genting
Berkunjung ke Genting Highlands..wowww..sejuknya terutama kat Snow World..



haa..dah puas main jangan merengek lagi..


Bestnya cutiiiiiiiiiiiii....

Tuesday, May 31, 2011

Selamat Bertunang

Kalau gugur buah setandan,
sampai ke tanah baru tergolek.
kami bersyukur kepada Tuhan,
datang kami disambut baik.

Sampai ke tanah baru tergolek
lalu dikutip di masuk bakul
datang tuan disambut baik
pasti hasrat akan termakbul

Bunga ros bunga melati
harum semerbak di dalam taman
besar sungguh hajat di hati
hendak menyunting bunga di taman

cantik memanjat pohon ara,
nampaknya cantik berseri laman.
besar hajat kami tidak terkira,
hendak memetik bunga ditaman.
Bak kata orang..
tuan menyimpan sekuntum bunga,
bak intan di dalam peti.
Kami menyimpan seekor kumbang,
sudah terpikat ke bunga tuan,
hendak menyunting intan tuan,
hendak bernaung di rumah ini,
hendak menyambung tali darah,
hendak mengikat tali keluarga.
minta diterima hajat kami...



Timah pateri dengan besi
di cantum dengan paku belanda
hukum berdiri dengan saksi
adat berdiri dengan tanda

Bunga Cina tanaman Cina
mari di pakai tuan puteri
kerja kita akan sempurna
bila sampai masa di janji



Detik yang dinanti pasti akan tiba jua, percayalah..Selamat menjadi tunangan orang..Tahniah!

Saturday, May 21, 2011

Ini novel pertama yang aku baca seusai aku menyerahkan tesis kepada pihak UPM..Hampir dua tahun aku rasa dibelenggu dengan tugasan tersebut..akhirnya aku bebas..merdeka..yahoooo...heheheh..hakikatnya perjuangan belum berhenti..cuma aku ada sedikit kelapangan untuk membaca novel..hobi yang terpaksa aku lupakan kerana tuntutan lain yang lebih utama..


Tajuk: AKu Yang Kau Tinggalkan
Penulis: Alina Haizar
759 Mukasurat



Aku seronok membaca novel ini kerana aku seolah-olah terbang ke Paris dan seolah-olah turut menjelajah bandar Turin dan pelusuk Itali..Syabas kepada penulisnya..bilakah aku mampu menghasilkan novel sebegini?heheh...Wallhualam.. Apapun, terima kasih Kiroh sebab pinjamkan novel ini..

Thursday, May 19, 2011

Demikian Adanya...

Segalanya bermula apabila setiap hari kami sering berdiskusi bagaimanakah caranya agar dapat tampil sebagai pendidik yang segar dan mantap. Bagi kami menjadi guru tidak sempurna jika hanya berada pada satu takah sahaja. Kami menanam azam untuk berada di puncak kerjaya. Kami bulatkan tekad dan akhirnya kami berdua mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Jun 2009 kami mendaftar sebagai pelajar sarjana Program Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia. Sudah tentu paradigma dan rentak kerja kami jadi sedikit berbeza dengan keputusan ini. Sebulan sekali kami akan turun ke UPM untuk berkuliah.
Kami memilih jalan ini semata-mata untuk menyelami ke tengah lautan dunia pendidikan yang sangat luas. Bercampur dengan rakan sekelas daripada pelbagai lapangan dan pelusuk negeri mengundang pengalaman yang bererti dalam hidup kami. Paling tidak kami dapat melupakan tekanan di sekolah.
Kemuncak kepada perjuangan ini apabila hari pembentangan dan perdebatan kertas projek akhirnya tiba jua..kumpulan pelajar master kami sebenarnya tak ramai..hanya lapan orang sahaja...pun begitu keadaan tetap gamat kerana sesi ini merupakan gelanggang terbaik dalam kancah akademik ini.

Nama-nama hebat seperti Prof. Madya Dr. Rasid Jamian, Dr. Roselan Baki, Dr. Fadzillah Abd Rahman, Dr. Naffi Mat sesungguhnya telah membakar semangat juang dan komitmen kami untuk menyempurnakan pengajian ini. Setulusnya ucapan terima kasih ditujukan kepada Tn Hj. Shamsudin Othman selaku penyelia bagi kertas projek kami kerana tidak pernah jemu memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta sering mempermudahkan urusan kami. Kreativiti, motivasi, iltizam yang berpasak kukuh dalam diri beliau sesungguhnya menuntun perjuangan ini.


Kepada sang suami, perjuangan ini merupakan antara benih yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga antara kita agar terus berkongsi rasa bersama dalam hidup ini. Usah dihitung wang ringgit yang kita laburkan kerana, pertemuan demi pertemuan yang diaturkan telah dapat mencanai pengalaman agar kita tampil sebagai pendidik yang sentiasa segar.Puteriku Qistina, kami berdua gagah mentiti takah yang getir ini keranamu jua dan semoga semangat perjuangan ayahanda dan bonda ini akan menjadi inspirasi kepadamu kelak...
Juga menjunjung kasih kekandaku Maya tercinta yang menjadi denyutan nadi dalam hidup ini. Sentiasa positif dan memberi ruang. Tempat kami menumpang juga tempat si kecil itu dititipkan..Seluruh kaum keluarga yang menyokong perjuangan ini, galakan kalian sangat-sangat dihargai.


Biarpun keletihan, meskipun kepenatan tapi pengalaman ini merupakan pengalaman yang mahal dan tidak dapat dijual beli. Sesungguhnya perjuangan memperkaya ilmu dan tahap profesionalisme adalah sesuatu yang indah tetapi penuh dengan kendala dan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah, tenang dan bijaksana.Walaupun belum bergraduat sepenuhya kami yakin perjuangan ini merupakan batu batu loncatan untuk membina keterampilan diri dalam bidang pendidikan pada masa hadapan. Kami hanya mampu berdoa agar kami terus ampuh merentangi gelora dunia pendidikan. Insya-Allah.. Syabas dan Tahniah buat diri sendiri, sang suami juga rakan-rakan sekelas! Jom kita berjuang untuk Phd pulak!!hehe

Sunday, May 15, 2011

Salam Hari Guru

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca
Nah.. Betapa hebatnya seorang guru. Di tangan guru, lahir watak-watak manusia yang mencerminkan kehebatan sesebuah negara. Guru bertanggungjawab sepenuhnya melakar dan melukis perwatakan manusia. Malah tugas guru menjalar hingga ke akhirat.

Realitinya dalam sistem persekolahan, pelajar menunggu sebagaimana ikan di akuarium mengangakan mulut untuk ditabur dengan makanan. Mereka menanti di kelas untuk dipengaruhi, dikuasai, diasuh dan diajar dengan baik. Memang pada dasarnya guru memiliki keinginan untuk mengajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi untuk merealisasikan tujuan tersebut bukanlah satu kerja yang mudah. Barangkali rakan-rakan guru bersetuju kalau aku katakan guru hari ini diasak dengan senarai pelbagai tugasan. Dari hal kurikulum, pengurusan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada kegiatan kokurikulum semuanya menanti. Dunia pendidikan yang guru pilih atau barangkali juga tersalah pilih ini semakin ruwet. Tugas guru jadi sangat rencam. Perasaan kecamuk sering dialami guru. Melihat kepada senarai tugas sepanjang tahun guru sering rasa dizalimi. Sangat dizalimi. Nasib guru seolah-olah tidak terbela.Tapi guru tetap cuba memutihkan sangkaan kerana guru percaya Tuhan tidak akan membebani hambanya melainkan hamba itu mampu melaluinya.

Setiap hari guru yang mempunyai jiwa pendidik pasti melakukan operasi minda, berkira-kira langkah perlu dalam melaksanakan tugasnya. Guru-guru ini akan memeram idea, mengadun dengan akal budi sehingga sebati. Guru-guru ini menanamkan semangat untuk meneruskan kerja dengan tenang, sabar serta sarat dengan pertimbangan. Paling tidak mampu mengawal persekitaran bukan dikawal persekitaran.
Rakan-rakan guru, kita perlu bijak mengurus tekanan yang datang sama ada daripada pihak perancang kurikulum, pentabir, rakan sekerja, para pelajar mahupun ibu bapa. Kepada pihak yang berkenaan; sedarlah sebagai pendidik betapa besar kuasa yang dimiliki guru-guru sehingga mampu mengubah dunia. Kerana itu, kebajikan guru perlu dibela. Martabat guru perlu diperjuangkan bagi memastikan obor perjuangan guru tetap menyala dalam menerangi seluruh alam. Sistem pendidikan
akan lumpuh sekiranya guru-guru terus dibelenggu dengan dilema psikologi, stres, dan tekanan perasaan.


Rakan-rakan guru sekalian, walaupun berhadapan dengan situasi rumit kita perlu mengisi makna murabbi melalui mendidik kerana percayalah bahawa mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan.
Salam hari guru buat sang suami, guru-guru yang pernah membimbing, rakan-rakan sekerja guru dan seluruh warga guru di negara ini.


GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Sunday, May 1, 2011

Selamat Pengantin Baru

Salam tahniah dan selamat pengantin baru untuk sepasangan rakan sekerja yang telah diatur dan ditakdirkan jodoh pertemuannya oleh Allah hari ini.


Song Category: Nasyid
Bila Dua Hati Dah Terjalin
Artist: Hijjaz

Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha Allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan Ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Melangkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu

Moga kekal hingga ke syurga

Selamat menikmati alam berumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala pula bergelora.
Kami semua memanjatkan doa agar perkahwinan ini diberkati dan semoga bahagia hingga ke hujung nyawa!

Wednesday, April 27, 2011

Seni Berbahas VS Seni Berpidato

Dari segi terminologinya bahas atau perbahasan merupakan penyelidikan, pengupasan dan perbincangan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan idea yang logik dan tersusun..Dalam konteks perkembangan pelajar, dengan berhujah, bertengkar dan berbahas mereka menjadi warga berfikir, menajamkan daya berfikir dan meniupkan kesedaran watan dalam diri mereka.. Kemahiran berbahas penting kerana berbahas bukan sahaja memerlukan kemahiran berpidato malah merangkumi kemahiran komunikasi, dan cara meyakinkan orang ramai.Sebab itu kemahiran berbahas perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Berbahas merupakan satu seni dan mereka yang menyertai bahas biasanya mencintai seni berbahas itu sendiri..

Kepada pelajar, kita tak menang bukan sebab kita tak hebat..cuma ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki lagi..

Berbeza pula dengan pidato iaitu menyampaikan sesuatu ucapan kepada khlayak. Seni pidato merupakan sebuah seni yang hebat. Hanya berbekalkan kata-kata dan fakta, pemidato sebenarnya mampu menguasai minda dan hati orang yang mendengar.Sejarah telah membuktikan dengan bermodalkan air liur jaguh-jaguh pidato islam telah memperjuangkan kebenaran dan keamananan dengan sekeping lidah. Satu hal yang mustahak ialah bagaimana untuk melawan perasaan gugup ketika berpidato kerana sekiranya kegugupan menguasai pemidato, maka pidato yang disampaikan seolah-olah hilang bisanya.
Apa pun, pertemuan hari ini telah menampilkan anak-anak pelajar yang berfikiran terbuka dan luas, dibimbing secara terancang dan dihadapkan kepada khalayak dengan kehebatan yang tersendiri sehinggakan kami saf kehakiman merumuskan semua anda adalah juara..tahniah dan syabas!

Tuesday, April 26, 2011

Hitam Putih Kehidupan

Keseimbangan dalam kehidupan merupakan konsep tertua yang mendasari kejadian alam ini. Buktinya ialah apabila berakhirnya malam, akan berkunjung pula siang,kadangkala kita rasa bahagia amat, tetapi duka akan berkunjung jua,ada tua, ada muda, ada positif nescaya ada negatif, ada hidup, ada mati dan begitulah seterusnya...
Sebagai aplikasinya,jika dalam kehidupan ini kita mengalami kesenangan, janganlah sesekali bongkak dan berbangga hati secara berlebihan, karena semuanya itu sifatnya hanya sementara. Suatu saat tentulah kesedihan dalam tingkat yang serupa akan mengunjungi kita sehingga pada akhirnya, semuanya lunas dan seimbang. Dan sebaliknya, jika kita mengalami kesedihan yang mendalam, janganlah terlalu murung berlebihan kerana semua itu ada penyeimbangnya.



Begitu jugalah hakikatnya di sekolah..pelajar tidak kekal..guru silih berganti..acap kali apabila beralih pucuk pimpinan banyak perubahan akan berlaku. Terutamanya apabila sang ketua sangat bercita-cita untuk menggapai impiannya yang menggunung..Sesungguhnya kita semua adalah manusia biasa..asal kejadian daripada tanah..yang sejuk sifatnya..bukan daripada api yang panas membara..percayalah, sapaan yang lembut dan memikat boleh menjadi benih awal yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga agar terus berkongsi rasa bersama dalam membangunkan sekolah.

Yang jelas, aku perlu bijak mengurus tekanan yang datang terutama daripada pihak pentabir. Aku perlu mengentalkan kekuatan minda!Marah tidak dapat memulihkan keadaan, malah mengeruhkan. Rasa marah aku pujuk dengan memotivasikan diri.. Sedarlah, jika diturutkan rasa akan binasa. Jika diturutkan hati akan mati. Yang menjadi mangsa ialah pelajar. Mereka modal insan masa depan negara.

Biarpun berhadapan dengan situasi rumit,hakikatnya aku cuba mengisi makna murabbi melalui mendidik. Ini kerana aku percaya sesungguhnya mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan!
Demikianlah adanya.....

Saturday, April 23, 2011

Pak Ndak


Lokasi: No. 9, Tingkat 1,
Flat Sungai Chua, Kajang.

Hari itu kami berkesempatan menziarah Pak Ndak Wahab sekali lagi..keadaannya uzur amat..tak upaya langsung memanipulasi tubuh badannya sendiri..terlantar di perbaringan..makanannya hanya susu yang disalurkan melalui tiub..buang air kecil pun menggunakan tiub yang dihubungkan kepada plastik khas..mengalir air mata melihat keadaannya..


Abah sebenarnya berselindung di sebalik senyumannya..jiwanya berpecah belah melihat keadaan abangnya sendiri..hatinya ranap bagai di rentap-rentap apabila mengenangkan sikap anak-anak saudaranya yang berada di kampung sanggup membiarkan Pak Ndak di bawah jagaan anak bongsunya di perantauan..kata abah,mereka semua tak wajar membiarkan Pak Ndak tinggal di situ..di rumah flat itu..di perantauan..dan Dolah keseorangan menguruskan ayahnya sebatang kara..Dolah anak bongsu Pak Ndak..memandang wajahnya tersimpan seribu rahsia..sarat dengan ketenangan biarpun diri sendiri dirundung pelbagai kemelut menguruskan ayahanda keseorangan jauh di perantauan..



Aku jadi insaf dengan pertemuan ini..hatiku juga bagai disiat-siat dengan situasi ini..Tuhan, kalau boleh aku mahu penderitaan ini cepat-cepat berakhir..

Thursday, March 31, 2011

Dilation & Curretage (D&C)

Biarpun entri ini tidak dapat menggambarkan kesedihan yang kami rasai, aku tetap ingin mencatatnya..Kalau boleh aku kongsikan kronologinya bermula begini..

Jumaat 25 Mac 2011; ada pendarahan kecil ketika pulang dari sekolah..Kami bergegas ke klinik..imbasan dilakukan..itu pendarahan biasa..kelongsong dan janin masih berada pada kedudukannya..normal..kehamilan berusia 7 minggu..cuma Doktor memaklumkan kedudukan rahim yang agak terbalik..berbaur perasaan ketika mendengar ulasan Puan Doktor..Sepanjang malam aku cuba tenangkan diri dan merehatkan minda..Syukurlah tiada sebarang pendarahan malam itu..

Sabtu; 26 Mac 2011: Sepanjang hari berlaku sedikit pendarahan..seperti semalam..pun begitu lewat petang kami menuju ke klinik..Keadaan normal..

Ahad; 27 Mac 2011: Lewat petang pendarahan tak berhenti..malah menjelang malam semakin serius..sakit perut amat sangat aku deritai..mungkinkah ini petanda keguguran?

Isnin; 28 Mac 2011:Awal pagi kami menuju ke tempat doktor..Imbasan segera dilakukan..Kami pasrah apabila doktor memaklumkan bahawa aku mengalami keguguran..Keguguran bermakna kematian janin..Janin harus dikeluarkan sebelum berlaku komplikasi..Bayangkan ada seketul daging dalam rahim..daging itu boleh membusuk dan mengundang jangkitan kuman..Rawatan D&C perlu dilakukan segera..Dilation & Curretage (D&C) adalah prosedur pembedahan minor untuk meregangkan serviks. Sejenis alat akan dimasukkan ke dalam rahim untuk mengikis dan menyedut dinding rahim..D&C ini dilakukan bagi kes keguguran untuk mengeluarkan sisa-sisa kehamilan yang tertinggal dalam rahim..Sekiranya tidak dikeluarkan menurut Doktor aku akan mengalami pendarahan yang banyak dan menerima jangkitan..Sisa-sisa kehamilan itu akan menghalang rahim daripada mengecut dan merupakan sarang terbaik untuk pertumbuhan bakteria..Sekiranya tidak dikeluarkan tisu yang tertinggal akan menyebabkan komplikasi yang boleh membahayakan nyawa.. Prosedur D&C:

1) Dibius sepenuhnya

2) Vagina dibuka menggunakan spekulum

3) Beberapa rod besi halus dan flexible dimasukkan untuk merenggangkan serviks sehingga saiznya terbuka 8mm...aduyaiii

4)Kemudian currette iaitu besi yang halus dan mempunyai hujung bergelung dimasukkan ke dalam rahim

5)Dinding rahim akan dikikis dan disedut menggunakan penyedut berkuasa elektrik

6)Setelah dipastikan segala darah dan kekotoran habis alat tersebut akan dikeluarkan

7)Dipindahkan ke wad pemulihan; sejam berikutnya baru sedar..kami meninggalkan perkarangan pusat perubatan itu jam 5 petang..Kosnya RM 250


8)Dapat cuti sakit 10 hari..patutnya 2 bulan cam orang bersalin gak..sebab konsep keguguran ni sama cam bersalin kalu kita kaji..nak recover pun amik masa..

Musibah keguguran menimpa kami..Kami perlu bersabar atas dugaan yang Allah berikan..Tentu banyak hikmah yang tersembunyi..Kami memujuk diri, mengapa perlu bersedih atas musibah yang kami tidak tahu kebaikannya..Mungkin apa yang dikatakan musibah ini adalah rahmat sebenarnya..Aku cuma perlu berusaha agar kesihatan pulih seperti sediakala kerana ada banyak tanggungjawab menanti di luar sana..Qistina; baby dah tak ada....

Tuesday, March 22, 2011

Belimbing Rebus vs Sambal Hitam

Bagi mereka kat luar sana yang pernah makan sambal belimbing hitam, mesti mengakui betapa uniknya hidangan tersebut..Sebenarnya, ni makanan tradisional orang Pahang..terutama daerah ulu Kuala Lipis dan Jerantut..Kat tempat kerja aku, mereka semua sangat sukakan sambal ni..alkisahnya aku buatkan sambal tu untuk dimakan dengan pulut kuning sempena potluck..ingatkan tak dapat sambutan..tapi licin licau mangkuk aku..hihihi...sekali makan nak lagi..pastu permintaan demi permintaan datang..mereka selalu suh aku masak...hehehe...So, hari ni aku nak share, bahan mentah utama yang diperlukan untuk bikin sambal ni iaitu; belimbing buluh rebus..benda alah ni yang leceh nak disediakan...

Prosesnya bermula daripada menjolok dan memanjat pokok belimbing...ha, tengok aksi mak aku kat atas pokok belimbing tu...aduyaiiii..bila musim belimbing berbuah lebat mak aku mesti terlupa yang dia tu OKU..tongkat dia campak ntah kemana...tup..tup...dia dah ada atas pokok belimbing....mak turunnnnnnnnn.... Kalau nak merebus belimbing ni tak berbaloi setangkai dua..paling kurang pun sebakul cam ni.. Proses kerja yang seterusnya ialah memilih belimbing yang benar-benar berkualiti..yang buruk dan berpotensi mengandungi ulat buah kat dalamnya mesti dibuang...

Pastu plak, kerja-kerja membuang tampuk belimbing atas dan bawah perlu dilakukan... Bila dah selesai, belimbing tersebut hendaklah dibasuh dan ditoskan airnya..Sementara itu, sediakanlah kayu api untuk merebus..bukannya tak boleh pakai gas, tapi proses merebus ni memakan masa yang lama..antara 4 hingga 5 jam..untuk memastikan air belimbing betul-betul kering...jadi kalau guna kayu api, boleh jimatkan gas... Kena pakai kuali besar..kalu arwah wan aku dulu, lagilah tradisional..dia guna tin minyak tanah..alasannya lepas merebus tak perlu nak sental kuali yang hitam buntutnya tu...kalu pakai tin, boleh buang terus jerk... Tunggulah beberapa jam lagi...air yang penuh dalam kuali tu adalah air belimbing tu...air tulah kita nak tunggu kering...jenuh gak...oopsss...sebelum terlupa jangan lupa plak letak garam...kalau satu kuali besar cam gini, paling tidak pun 2 kilo garam...barulah tahan lama...
Setelah berjam-jam merebus, akhirnya air belimbing pun kering...tengok tu, belimbing tu dah bertukar menjadi hitam...fungsinya sama cam asam keping..selain boleh dibuat sambal, kalu korang masak singgang ikan umpamanya, boleh masukkan belimbing ni..
Lagi satu, sekali kita rebus belimbing ni sampai betul-betul kering airnya dan cukup garamnya, dia akan tahan dua tiga tahun..tak berkulat..simpan dalam bekas bertutup elok-elok dan masukkan dalam fridge...

Saturday, January 22, 2011

Individu Paling Kecil Ambik Master

Hari ni ada kelas upm..nak jadikan ceritakan, kita orang terpaksa bawak si kecil tu masuk kelas sekali..memang dah tak ada ikhtiar lain dah..terpaksa gak heret si kecik tu..ha, ni antara kelengkapan dia..

time orang buat presentation dia siap bukak kasut ngan stokin lagi..

Ni sah air oren dia ni..

Mula-mula dia ok jer..tapi bila dah sleepy and tired mulalah merengek..orang present kat depan, dia memekik kat belakang..nasib baik la Dr Fazilah memahami..yang kelakarnya Dr Fazilah plak yang boleh minta maaf kat kita orang dan cakap jangan tertekan dengan situasi ini..aduyai..punya la baik lecturer ni..Terima kasih Dr kerana amat memahami situasi kami..


Anyway Qistina, harapan umi dan abah semoga Qistina akan dapat belajar sehingga ke peringkat tertinggi..Qistina mungkin belum mengerti apa-apa hari ini..tapi sebenarnya langkah hari ini langkah yang berkat dan penuh dengan makna..Dan semoga semangat perjuangan umi dan abah akan menjadi inspirasi kepada Qistina terutamanya apabila Qistina mengerti kelak..Juga kepada kenkawan sekelas, kami mohon maaf kerana mungkin kehadirannya menggangu ketenteraman kalian..




Sunday, January 16, 2011

Nasi Lemak vs Ayam Sambal

Hari minggu yang indah..pagi-pagi bangun masak nasi lemak dengan ayam sambal..

Resepinya ialah; cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, serai, air asam jawa, sedikit gula melaka dan garam..cara masaknya pun senang jer..goreng ayam dulu..pastu tumis bahan-bahan tadi yang telah diblender..then,masukkanlah ayam..

Selamat berhari minggu!!