Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung kudaki-kudaki jua!



Thursday, May 19, 2011

Demikian Adanya...

Segalanya bermula apabila setiap hari kami sering berdiskusi bagaimanakah caranya agar dapat tampil sebagai pendidik yang segar dan mantap. Bagi kami menjadi guru tidak sempurna jika hanya berada pada satu takah sahaja. Kami menanam azam untuk berada di puncak kerjaya. Kami bulatkan tekad dan akhirnya kami berdua mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Jun 2009 kami mendaftar sebagai pelajar sarjana Program Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia. Sudah tentu paradigma dan rentak kerja kami jadi sedikit berbeza dengan keputusan ini. Sebulan sekali kami akan turun ke UPM untuk berkuliah.
Kami memilih jalan ini semata-mata untuk menyelami ke tengah lautan dunia pendidikan yang sangat luas. Bercampur dengan rakan sekelas daripada pelbagai lapangan dan pelusuk negeri mengundang pengalaman yang bererti dalam hidup kami. Paling tidak kami dapat melupakan tekanan di sekolah.
Kemuncak kepada perjuangan ini apabila hari pembentangan dan perdebatan kertas projek akhirnya tiba jua..kumpulan pelajar master kami sebenarnya tak ramai..hanya lapan orang sahaja...pun begitu keadaan tetap gamat kerana sesi ini merupakan gelanggang terbaik dalam kancah akademik ini.

Nama-nama hebat seperti Prof. Madya Dr. Rasid Jamian, Dr. Roselan Baki, Dr. Fadzillah Abd Rahman, Dr. Naffi Mat sesungguhnya telah membakar semangat juang dan komitmen kami untuk menyempurnakan pengajian ini. Setulusnya ucapan terima kasih ditujukan kepada Tn Hj. Shamsudin Othman selaku penyelia bagi kertas projek kami kerana tidak pernah jemu memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta sering mempermudahkan urusan kami. Kreativiti, motivasi, iltizam yang berpasak kukuh dalam diri beliau sesungguhnya menuntun perjuangan ini.


Kepada sang suami, perjuangan ini merupakan antara benih yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga antara kita agar terus berkongsi rasa bersama dalam hidup ini. Usah dihitung wang ringgit yang kita laburkan kerana, pertemuan demi pertemuan yang diaturkan telah dapat mencanai pengalaman agar kita tampil sebagai pendidik yang sentiasa segar.Puteriku Qistina, kami berdua gagah mentiti takah yang getir ini keranamu jua dan semoga semangat perjuangan ayahanda dan bonda ini akan menjadi inspirasi kepadamu kelak...
Juga menjunjung kasih kekandaku Maya tercinta yang menjadi denyutan nadi dalam hidup ini. Sentiasa positif dan memberi ruang. Tempat kami menumpang juga tempat si kecil itu dititipkan..Seluruh kaum keluarga yang menyokong perjuangan ini, galakan kalian sangat-sangat dihargai.


Biarpun keletihan, meskipun kepenatan tapi pengalaman ini merupakan pengalaman yang mahal dan tidak dapat dijual beli. Sesungguhnya perjuangan memperkaya ilmu dan tahap profesionalisme adalah sesuatu yang indah tetapi penuh dengan kendala dan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah, tenang dan bijaksana.Walaupun belum bergraduat sepenuhya kami yakin perjuangan ini merupakan batu batu loncatan untuk membina keterampilan diri dalam bidang pendidikan pada masa hadapan. Kami hanya mampu berdoa agar kami terus ampuh merentangi gelora dunia pendidikan. Insya-Allah.. Syabas dan Tahniah buat diri sendiri, sang suami juga rakan-rakan sekelas! Jom kita berjuang untuk Phd pulak!!hehe

No comments:

Post a Comment