Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung kudaki-kudaki jua!



Sunday, May 15, 2011

Salam Hari Guru

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca
Nah.. Betapa hebatnya seorang guru. Di tangan guru, lahir watak-watak manusia yang mencerminkan kehebatan sesebuah negara. Guru bertanggungjawab sepenuhnya melakar dan melukis perwatakan manusia. Malah tugas guru menjalar hingga ke akhirat.

Realitinya dalam sistem persekolahan, pelajar menunggu sebagaimana ikan di akuarium mengangakan mulut untuk ditabur dengan makanan. Mereka menanti di kelas untuk dipengaruhi, dikuasai, diasuh dan diajar dengan baik. Memang pada dasarnya guru memiliki keinginan untuk mengajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi untuk merealisasikan tujuan tersebut bukanlah satu kerja yang mudah. Barangkali rakan-rakan guru bersetuju kalau aku katakan guru hari ini diasak dengan senarai pelbagai tugasan. Dari hal kurikulum, pengurusan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada kegiatan kokurikulum semuanya menanti. Dunia pendidikan yang guru pilih atau barangkali juga tersalah pilih ini semakin ruwet. Tugas guru jadi sangat rencam. Perasaan kecamuk sering dialami guru. Melihat kepada senarai tugas sepanjang tahun guru sering rasa dizalimi. Sangat dizalimi. Nasib guru seolah-olah tidak terbela.Tapi guru tetap cuba memutihkan sangkaan kerana guru percaya Tuhan tidak akan membebani hambanya melainkan hamba itu mampu melaluinya.

Setiap hari guru yang mempunyai jiwa pendidik pasti melakukan operasi minda, berkira-kira langkah perlu dalam melaksanakan tugasnya. Guru-guru ini akan memeram idea, mengadun dengan akal budi sehingga sebati. Guru-guru ini menanamkan semangat untuk meneruskan kerja dengan tenang, sabar serta sarat dengan pertimbangan. Paling tidak mampu mengawal persekitaran bukan dikawal persekitaran.
Rakan-rakan guru, kita perlu bijak mengurus tekanan yang datang sama ada daripada pihak perancang kurikulum, pentabir, rakan sekerja, para pelajar mahupun ibu bapa. Kepada pihak yang berkenaan; sedarlah sebagai pendidik betapa besar kuasa yang dimiliki guru-guru sehingga mampu mengubah dunia. Kerana itu, kebajikan guru perlu dibela. Martabat guru perlu diperjuangkan bagi memastikan obor perjuangan guru tetap menyala dalam menerangi seluruh alam. Sistem pendidikan
akan lumpuh sekiranya guru-guru terus dibelenggu dengan dilema psikologi, stres, dan tekanan perasaan.


Rakan-rakan guru sekalian, walaupun berhadapan dengan situasi rumit kita perlu mengisi makna murabbi melalui mendidik kerana percayalah bahawa mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan.
Salam hari guru buat sang suami, guru-guru yang pernah membimbing, rakan-rakan sekerja guru dan seluruh warga guru di negara ini.


GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

No comments:

Post a Comment