Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung kudaki-kudaki jua!



Saturday, May 21, 2011

Ini novel pertama yang aku baca seusai aku menyerahkan tesis kepada pihak UPM..Hampir dua tahun aku rasa dibelenggu dengan tugasan tersebut..akhirnya aku bebas..merdeka..yahoooo...heheheh..hakikatnya perjuangan belum berhenti..cuma aku ada sedikit kelapangan untuk membaca novel..hobi yang terpaksa aku lupakan kerana tuntutan lain yang lebih utama..


Tajuk: AKu Yang Kau Tinggalkan
Penulis: Alina Haizar
759 Mukasurat



Aku seronok membaca novel ini kerana aku seolah-olah terbang ke Paris dan seolah-olah turut menjelajah bandar Turin dan pelusuk Itali..Syabas kepada penulisnya..bilakah aku mampu menghasilkan novel sebegini?heheh...Wallhualam.. Apapun, terima kasih Kiroh sebab pinjamkan novel ini..

Thursday, May 19, 2011

Demikian Adanya...

Segalanya bermula apabila setiap hari kami sering berdiskusi bagaimanakah caranya agar dapat tampil sebagai pendidik yang segar dan mantap. Bagi kami menjadi guru tidak sempurna jika hanya berada pada satu takah sahaja. Kami menanam azam untuk berada di puncak kerjaya. Kami bulatkan tekad dan akhirnya kami berdua mengambil keputusan menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Jun 2009 kami mendaftar sebagai pelajar sarjana Program Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia. Sudah tentu paradigma dan rentak kerja kami jadi sedikit berbeza dengan keputusan ini. Sebulan sekali kami akan turun ke UPM untuk berkuliah.
Kami memilih jalan ini semata-mata untuk menyelami ke tengah lautan dunia pendidikan yang sangat luas. Bercampur dengan rakan sekelas daripada pelbagai lapangan dan pelusuk negeri mengundang pengalaman yang bererti dalam hidup kami. Paling tidak kami dapat melupakan tekanan di sekolah.
Kemuncak kepada perjuangan ini apabila hari pembentangan dan perdebatan kertas projek akhirnya tiba jua..kumpulan pelajar master kami sebenarnya tak ramai..hanya lapan orang sahaja...pun begitu keadaan tetap gamat kerana sesi ini merupakan gelanggang terbaik dalam kancah akademik ini.

Nama-nama hebat seperti Prof. Madya Dr. Rasid Jamian, Dr. Roselan Baki, Dr. Fadzillah Abd Rahman, Dr. Naffi Mat sesungguhnya telah membakar semangat juang dan komitmen kami untuk menyempurnakan pengajian ini. Setulusnya ucapan terima kasih ditujukan kepada Tn Hj. Shamsudin Othman selaku penyelia bagi kertas projek kami kerana tidak pernah jemu memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta sering mempermudahkan urusan kami. Kreativiti, motivasi, iltizam yang berpasak kukuh dalam diri beliau sesungguhnya menuntun perjuangan ini.


Kepada sang suami, perjuangan ini merupakan antara benih yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga antara kita agar terus berkongsi rasa bersama dalam hidup ini. Usah dihitung wang ringgit yang kita laburkan kerana, pertemuan demi pertemuan yang diaturkan telah dapat mencanai pengalaman agar kita tampil sebagai pendidik yang sentiasa segar.Puteriku Qistina, kami berdua gagah mentiti takah yang getir ini keranamu jua dan semoga semangat perjuangan ayahanda dan bonda ini akan menjadi inspirasi kepadamu kelak...
Juga menjunjung kasih kekandaku Maya tercinta yang menjadi denyutan nadi dalam hidup ini. Sentiasa positif dan memberi ruang. Tempat kami menumpang juga tempat si kecil itu dititipkan..Seluruh kaum keluarga yang menyokong perjuangan ini, galakan kalian sangat-sangat dihargai.


Biarpun keletihan, meskipun kepenatan tapi pengalaman ini merupakan pengalaman yang mahal dan tidak dapat dijual beli. Sesungguhnya perjuangan memperkaya ilmu dan tahap profesionalisme adalah sesuatu yang indah tetapi penuh dengan kendala dan cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah, tenang dan bijaksana.Walaupun belum bergraduat sepenuhya kami yakin perjuangan ini merupakan batu batu loncatan untuk membina keterampilan diri dalam bidang pendidikan pada masa hadapan. Kami hanya mampu berdoa agar kami terus ampuh merentangi gelora dunia pendidikan. Insya-Allah.. Syabas dan Tahniah buat diri sendiri, sang suami juga rakan-rakan sekelas! Jom kita berjuang untuk Phd pulak!!hehe

Sunday, May 15, 2011

Salam Hari Guru

Jika hari ini
Seorang perdana menteri berkuasa
Jika hari ini
Seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini
Seorang Ulama' yang mulia
Jika hari ini
Seorang peguam menang bicara
Jika hari ini
Seorang penulis terkemuka
Jika hari ini
Siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya
mengajar tulis baca
Nah.. Betapa hebatnya seorang guru. Di tangan guru, lahir watak-watak manusia yang mencerminkan kehebatan sesebuah negara. Guru bertanggungjawab sepenuhnya melakar dan melukis perwatakan manusia. Malah tugas guru menjalar hingga ke akhirat.

Realitinya dalam sistem persekolahan, pelajar menunggu sebagaimana ikan di akuarium mengangakan mulut untuk ditabur dengan makanan. Mereka menanti di kelas untuk dipengaruhi, dikuasai, diasuh dan diajar dengan baik. Memang pada dasarnya guru memiliki keinginan untuk mengajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi untuk merealisasikan tujuan tersebut bukanlah satu kerja yang mudah. Barangkali rakan-rakan guru bersetuju kalau aku katakan guru hari ini diasak dengan senarai pelbagai tugasan. Dari hal kurikulum, pengurusan hal ehwal pelajar sehinggalah kepada kegiatan kokurikulum semuanya menanti. Dunia pendidikan yang guru pilih atau barangkali juga tersalah pilih ini semakin ruwet. Tugas guru jadi sangat rencam. Perasaan kecamuk sering dialami guru. Melihat kepada senarai tugas sepanjang tahun guru sering rasa dizalimi. Sangat dizalimi. Nasib guru seolah-olah tidak terbela.Tapi guru tetap cuba memutihkan sangkaan kerana guru percaya Tuhan tidak akan membebani hambanya melainkan hamba itu mampu melaluinya.

Setiap hari guru yang mempunyai jiwa pendidik pasti melakukan operasi minda, berkira-kira langkah perlu dalam melaksanakan tugasnya. Guru-guru ini akan memeram idea, mengadun dengan akal budi sehingga sebati. Guru-guru ini menanamkan semangat untuk meneruskan kerja dengan tenang, sabar serta sarat dengan pertimbangan. Paling tidak mampu mengawal persekitaran bukan dikawal persekitaran.
Rakan-rakan guru, kita perlu bijak mengurus tekanan yang datang sama ada daripada pihak perancang kurikulum, pentabir, rakan sekerja, para pelajar mahupun ibu bapa. Kepada pihak yang berkenaan; sedarlah sebagai pendidik betapa besar kuasa yang dimiliki guru-guru sehingga mampu mengubah dunia. Kerana itu, kebajikan guru perlu dibela. Martabat guru perlu diperjuangkan bagi memastikan obor perjuangan guru tetap menyala dalam menerangi seluruh alam. Sistem pendidikan
akan lumpuh sekiranya guru-guru terus dibelenggu dengan dilema psikologi, stres, dan tekanan perasaan.


Rakan-rakan guru sekalian, walaupun berhadapan dengan situasi rumit kita perlu mengisi makna murabbi melalui mendidik kerana percayalah bahawa mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan.
Salam hari guru buat sang suami, guru-guru yang pernah membimbing, rakan-rakan sekerja guru dan seluruh warga guru di negara ini.


GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Sunday, May 1, 2011

Selamat Pengantin Baru

Salam tahniah dan selamat pengantin baru untuk sepasangan rakan sekerja yang telah diatur dan ditakdirkan jodoh pertemuannya oleh Allah hari ini.


Song Category: Nasyid
Bila Dua Hati Dah Terjalin
Artist: Hijjaz

Selamatlah pengantin kami doakan
Moga redha Allah bersinar selalu
Tanda bermula bahtera hidup

Dalam melayari bahtera rumahtangga
Ada masa tenang dan masa gelisah
Jangan nafsu diikut melulu
Sabar dan kemaafan itu perlu

Beginilah resam manusia
Tak lari dari ketentuan Ilahi
Suami ketua isteri pembantu
Melangkah hidup saling berpadu
Susah dan senang hadapi bersama
Moga kekal ke anak cucu

Moga kekal hingga ke syurga

Selamat menikmati alam berumahtangga yang kadangkala tenang dan kadangkala pula bergelora.
Kami semua memanjatkan doa agar perkahwinan ini diberkati dan semoga bahagia hingga ke hujung nyawa!

Wednesday, April 27, 2011

Seni Berbahas VS Seni Berpidato

Dari segi terminologinya bahas atau perbahasan merupakan penyelidikan, pengupasan dan perbincangan sama ada menyokong atau membangkang sesuatu pendirian dengan idea yang logik dan tersusun..Dalam konteks perkembangan pelajar, dengan berhujah, bertengkar dan berbahas mereka menjadi warga berfikir, menajamkan daya berfikir dan meniupkan kesedaran watan dalam diri mereka.. Kemahiran berbahas penting kerana berbahas bukan sahaja memerlukan kemahiran berpidato malah merangkumi kemahiran komunikasi, dan cara meyakinkan orang ramai.Sebab itu kemahiran berbahas perlu dipupuk sejak dari kecil lagi. Berbahas merupakan satu seni dan mereka yang menyertai bahas biasanya mencintai seni berbahas itu sendiri..

Kepada pelajar, kita tak menang bukan sebab kita tak hebat..cuma ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki lagi..

Berbeza pula dengan pidato iaitu menyampaikan sesuatu ucapan kepada khlayak. Seni pidato merupakan sebuah seni yang hebat. Hanya berbekalkan kata-kata dan fakta, pemidato sebenarnya mampu menguasai minda dan hati orang yang mendengar.Sejarah telah membuktikan dengan bermodalkan air liur jaguh-jaguh pidato islam telah memperjuangkan kebenaran dan keamananan dengan sekeping lidah. Satu hal yang mustahak ialah bagaimana untuk melawan perasaan gugup ketika berpidato kerana sekiranya kegugupan menguasai pemidato, maka pidato yang disampaikan seolah-olah hilang bisanya.
Apa pun, pertemuan hari ini telah menampilkan anak-anak pelajar yang berfikiran terbuka dan luas, dibimbing secara terancang dan dihadapkan kepada khalayak dengan kehebatan yang tersendiri sehinggakan kami saf kehakiman merumuskan semua anda adalah juara..tahniah dan syabas!

Tuesday, April 26, 2011

Hitam Putih Kehidupan

Keseimbangan dalam kehidupan merupakan konsep tertua yang mendasari kejadian alam ini. Buktinya ialah apabila berakhirnya malam, akan berkunjung pula siang,kadangkala kita rasa bahagia amat, tetapi duka akan berkunjung jua,ada tua, ada muda, ada positif nescaya ada negatif, ada hidup, ada mati dan begitulah seterusnya...
Sebagai aplikasinya,jika dalam kehidupan ini kita mengalami kesenangan, janganlah sesekali bongkak dan berbangga hati secara berlebihan, karena semuanya itu sifatnya hanya sementara. Suatu saat tentulah kesedihan dalam tingkat yang serupa akan mengunjungi kita sehingga pada akhirnya, semuanya lunas dan seimbang. Dan sebaliknya, jika kita mengalami kesedihan yang mendalam, janganlah terlalu murung berlebihan kerana semua itu ada penyeimbangnya.



Begitu jugalah hakikatnya di sekolah..pelajar tidak kekal..guru silih berganti..acap kali apabila beralih pucuk pimpinan banyak perubahan akan berlaku. Terutamanya apabila sang ketua sangat bercita-cita untuk menggapai impiannya yang menggunung..Sesungguhnya kita semua adalah manusia biasa..asal kejadian daripada tanah..yang sejuk sifatnya..bukan daripada api yang panas membara..percayalah, sapaan yang lembut dan memikat boleh menjadi benih awal yang mencambahkan jalur kemesraan, menumbuhkan cinta dan bunga-bunga agar terus berkongsi rasa bersama dalam membangunkan sekolah.

Yang jelas, aku perlu bijak mengurus tekanan yang datang terutama daripada pihak pentabir. Aku perlu mengentalkan kekuatan minda!Marah tidak dapat memulihkan keadaan, malah mengeruhkan. Rasa marah aku pujuk dengan memotivasikan diri.. Sedarlah, jika diturutkan rasa akan binasa. Jika diturutkan hati akan mati. Yang menjadi mangsa ialah pelajar. Mereka modal insan masa depan negara.

Biarpun berhadapan dengan situasi rumit,hakikatnya aku cuba mengisi makna murabbi melalui mendidik. Ini kerana aku percaya sesungguhnya mengajar dan mendidik adalah panggilan alam, yang tidak akan hadir pada jiwa sebarangan!
Demikianlah adanya.....

Saturday, April 23, 2011

Pak Ndak


Lokasi: No. 9, Tingkat 1,
Flat Sungai Chua, Kajang.

Hari itu kami berkesempatan menziarah Pak Ndak Wahab sekali lagi..keadaannya uzur amat..tak upaya langsung memanipulasi tubuh badannya sendiri..terlantar di perbaringan..makanannya hanya susu yang disalurkan melalui tiub..buang air kecil pun menggunakan tiub yang dihubungkan kepada plastik khas..mengalir air mata melihat keadaannya..


Abah sebenarnya berselindung di sebalik senyumannya..jiwanya berpecah belah melihat keadaan abangnya sendiri..hatinya ranap bagai di rentap-rentap apabila mengenangkan sikap anak-anak saudaranya yang berada di kampung sanggup membiarkan Pak Ndak di bawah jagaan anak bongsunya di perantauan..kata abah,mereka semua tak wajar membiarkan Pak Ndak tinggal di situ..di rumah flat itu..di perantauan..dan Dolah keseorangan menguruskan ayahnya sebatang kara..Dolah anak bongsu Pak Ndak..memandang wajahnya tersimpan seribu rahsia..sarat dengan ketenangan biarpun diri sendiri dirundung pelbagai kemelut menguruskan ayahanda keseorangan jauh di perantauan..



Aku jadi insaf dengan pertemuan ini..hatiku juga bagai disiat-siat dengan situasi ini..Tuhan, kalau boleh aku mahu penderitaan ini cepat-cepat berakhir..